Thursday 16 February 2012

Sumpahan Piala FA, siapa mangsa seterusnya?

 
Saingan Piala FA Malaysia musim 2012 akan bermula esok hari dengan perlawanan pusingan pertama dan tunggal yang melibatkan pasukan Kejor Yob Kejor, Perak menentang ‘Manchester City Malaysia’ a.k.a ATM FA di Stadium Perak, Ipoh. Baki perlawanan pusingan pertama ini akan diteruskan pada hari Sabtu dan juga beberapa perlawanan lagi pada hari Ahad.

Jika di saingan Piala FA Inggeris, saingan merebut kejuaraan ini sememangnya ‘berhantu’ apabila banyak kelab-kelab/pasukan-pasukan ternama tewas mengejut kepada kelab-kelab divisyen dua dan tiga sesebuah negara itu. Namun jika disingkap kembali faktor kekalahan itu, ternyata sikap ‘terlalu mengambil mudah’ adalah punca utama kekalahan mereka.

Jika disingkap perjalanan kejohanan Piala FA musim 2011, Juara dan Naib Juara Piala FA musim 2010, Negeri Sembilan dan Kedah nyata telah terkena sumpahan kejohanan kalah mati ini apabila tersingkir awal di pusingan pertama apabila gagal untuk menewaskan lawan masing-masing.

Diharapkan saingan yang akan bermula esok hari ini digunakan dengan sebaik mungkin oleh pasukan-pasukan kurang ternama terutamanya daripada pasukan negeri seperti Pulau Pinang dan juga Melaka bagi membuktikan bahawa mereka mampu untuk bersaing dalam saingan Liga M 2012.

Kepada pasukan-pasukan ‘besar’ pula, jangan terlalu mengambil ringan saingan yang bakal diberikan pasukan-pasukan bawahan kerana penyokong sudah pasti tidak dapat menerima kekalahan itu ditambah pula jika pihak pengurusan memberikan alasan ‘tidak menurunkan pasukan terkuat’.

Jika tidak silap penulis, piala untuk kejohanan ini akan dibuat yang baru dan piala yang lama akan disimpan terus oleh pemenang kejohanan musim 2011 iaitu Terengganu. Akhir kata, selamat bertanding kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dalam saingan Piala FA Malaysia musim 2012 daripada kami, admin page Bolasepak Malaysia.