PASUKAN Kelantan, 'The Red Warriors' hari ini menandatangani kontrak dengan bekas pemain pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneiri sebagai pemain import bagi terus mengukuhkan kedudukan pasukan itu di persada Liga Super musim ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata pemain berusia 30 tahun itu
akan menggantikan Zakaria Charara dari Lubnan yang akan berpindah ke
pasukan Kuala Lumpur bagi membantu pasukan tersebut.
"Kita mengikat kontrak bersama Obinna selama setahun dan beliau
dijangka akan beraksi buat pertama kalinya Rabu ini dalam perlawanan
persahabatan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil,
Kuala Lumpur.
"Obinna yang juga hadir ketika perlawanan antara Kelantan dan Kuala
Lumpur baru-baru ini teruja dengan suasana di Stadium Sultan Muhammad IV
dan berjanji akan menggunakan pengalaman luasnya untuk memperkasakan
The Red Warriors," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Kelantan kini mempunyai empat pemain import iaitu Mohamed Ghaddar
(Lubnan), Denny Antwi (Ghana), Emmanuel Okine (Ghana) serta Obinna. Pasukan itu kini berada di kedudukan teratas Liga Super selepas lima perlawanan dengan mengumpul 13 mata. - Bernama
Sumber : Sinar Harian