Friday 3 February 2012

Masa depan awang import samar



BERIKUTAN mempamerkan aksi buruk ketika perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya kelmarin, masa depan awang import Kelantan Mohamed Ghaddar dan Danny Antwi kini menjadi tanda tanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang dipetik menerusi laman sosial Faceboknya berkata, pihaknya tidak teragak-agak membuat keputusan drastik demi kepentingan pasukan The Red Warriors.


“Dengan prestasi hambar Ghaddar dan Antwi malam ini (kelmarin) mencorakkan kedudukan mereka dalam skuad Liga Malaysia. Oleh sebab liga adalah penting terutama bagi perlawanan akan datang, kami perlu membuat perubahan untuk memperkasa pasukan,” katanya.


Kafa juga dikhabarkan akan mendapatkan pemain import lain sehingga TRW benar-benar kuat apabila jendela perpindahan pemain dibuka, April depan.


Pada aksi persahabatan di stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, Kelantan gagal mengekang asakan bertali arus Harimau Malaya apabila tunduk lima gol tanpa balas menerusi jaringan Mohd Asrarudin Putra Omar pada minit ke-36, Shahurain Abu Samah (42), S Kunanlan (65), Abdul Hadi Yahya (78) dan Mohd Izuan Salahudin (90).

Sumber : Sinar Harian