KELANTAN kini dapat menarik nafas lega apabila Konfederasi Bola Sepak
Asia (AFC) mengesahkan perlawanan Kelantan menentang Arema Indonesia
pada 4 April depan, akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota
Bharu.
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, perlawanan hanya akan
diadakan dengan syarat Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) melengkapkan
beberapa kemudahan iaitu bilik doping, bilik kesihatan, lampu limpah,
kemudahan Internet untuk media dan beberapa perkara lain.
“Perkara ini kita telah sampaikan kepada PSK dan langkah-langkah sewajarnya sedang dilaksanakan mereka.
“AFC memberi tempoh sehingga 18 Mac ini untuk melaporkan setiap
persiapan ditetapkan dan sekiranya memuaskan, perlawanan pada April
depan dan 8 Mei menentang pasukan Myanmar, Ayeyawady United boleh
berlangsung pada sebelah malam di Kelantan,” katanya.
Sebelum ini, perlawanan pertama The Red Warriors menentang Navibank
Saigon terpaksa ditukar ke Stadium Nasional Bukit Jalil gara-gara
kegagalan stadium di Kota Bharu yang masih dalam proses penambahbaikan.
Sumber : Sinar Harian